Sunday, 3 August 2014

Kemegahan sebenar ialah apabila seseorang itu memiliki zuriat yang berpendirian....yang memiliki jatidiri dan mempertahankan apa yang diwarisi oleh keturunannya......Pandangan anda dihargai


Friday, 9 November 2012

Tafsir Bulan November 199-200 Surah 'Ali Imran (akhir surah)


Kuliah Tafsir Bulan Oktober: 
Kuliah ini disampaikan di Masjid Abu Bakar al-Sidiq, Bansar Kuala Lumpur
Surah 'Ali Imran199-200
Sebelum solat Jumaat 
9 November 2012

Firman Allah  bermaksud:

Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

[199]


Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).


[200]


Pengajaran ayat:

1)Walaupun Allah murka kepada kebanyakan Bani Israel kerana kejahatan yang telah dilakukan namun kemurkaan itu tidak membuatkan Allah menafikan adanya kumpulan yang baik.

Peristiwa berimannya Najasyi setelah dibacakan kepadanya Surah Maryam oleh Ja'far bin Abi Talib. Berimannya Abdullah bin Salam salah seorang ulamak Yahudi di Madinah dll.

2) Sifat-sifat yang terpuji disebut dalam ayat di atas ialah: 
                       i- Beriman kepada Allah
                       ii-Beriman kepada kitab al-Quran
                       iii-Beriman kepada kitab-kitab terdahulu
                      iv-Khusyu' kepada Allah
                      i-Tidak mengubah kebenaran untuk mendapatkan habuan dunia

3)Siapa yang mampu mempertahankan perinsip ini akan berjaya 

4) Sabar sebagai senjata untuk mencapai kemenangan.

5) Sabar bermaksud meneruskan usaha dan terus tekun bukannya semata-mata mengharap dari Allah tanpa usaha.

6) Pihak yang lebih tinggi kesabaran dan kegigihan mereka , pihak itulah yang akan berjaya
7) Lima sebab kejayaan disebut dalam ayat 200
                     i) Sabar 
                    ii) Perkasakan kesabaran 
                    iii) Bersatu dan berganding bahu (kerja dalam kumpulan)
                    vi) Behati-hati
                    v) Taqwa

Tamat surah 'Ali Imran, insyaallah dalam kuliah yang akan datang akan mentafsirkan dari awal Surah al-Nisa. Insyaallah

Pandangan anda dihargai


Tuesday, 15 May 2012

Tarikat Tijaniah?


Soalan: Apa pandangan ustaz berkenaan Tarikat Tijaniah?

Jawapan:
Melalui maklumat yang saya ada, tarikat ini berasal dari Algeria dan pengasasnya ialah Syeikh Ali al-Tamasini wafat tahun 1260 Hijrah bersamaan 1844 Masihi.

Tarikat ini seperti tarikat-tarikat yang lain, mengajak kepada beramal dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan ibadat dengan teknik  aliran sufi yang kebanyakannya sama.

Namun demikian tarikat ini mengandungi beberapa pendirian yang saya lihat tidak bertepatan dengan ajaran Islam sebenar. Paling ketara ialah mereka mempercayai ada darjat-darjat tertentu yang membuatkan sesorang boleh bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Raululuuah s.a.w. 

Kepercayaan seperti ini tidak mengeluarkan seseorang daripada Islam tetapi salah dari sudut hakikatnya. Ini kerana seseorang yang mati tidak lagi boleh bertemu dengan orang yang hidup secara sedar. 

Apa yang lebih penting, iktikad seperti ini membuka pintu kefasadan yang besar dan seterusnya membawa kecelaruan dalam amalan agama. Ini kerana, seseorang yang telah berjumpa nabi s.a.w. seterusnya akan mendakwa ajaran-ajaran tambahan yang diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya.

Dengan itu, segala hadis yang telah dikumpul oleh para ulamak yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat Islam sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan. Ini kerana sudah ada sumber hadis lain yang lebih dekat kepada baginda. 

Setelah situasi ini wujud maka banyaklah amalan-amalan yang boleh ditambah dan diwujudkan berdasarkan arahan langsung daripada Rasulullah kepada guru atau orang yang mencapai darjat menemui Rasul s.a.w.

Hadis adalah tonggak kedua agama Islam, apabila tonggak ini telah berjaya dicerobohi, maka panduan umat Islam akan menjadi goyah dan berkecamuk. Percaya bahawa seseorang boleh menerima taklimat terus dari nabi s.a.w akan memusnahkan salah satu rujukan penting umat Islam yang diberitahu sendiri oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Aku tingggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada keduanya, kitabullah dan sunahku.

Para ulamak silam antaranya Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud Ahmad dan ramai lagi, berjuang bermati-matian menggumpulkan hadis, membuang hadis-hadis rekaan dan menyedarkan masyarakat tentang hadis. Akhirnya usaha para ulamak ini telah berjaya menjadikan sumber rujukan Islam kedua ini terpelihara dari dicampur adukkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari baginda tetapi tidak disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh ulamak silam maka dakwaan itu dianggap salah dan pembohongan.

Pada pandangan saya, sebarang ajaran sufi yang percaya dengan asas ini berlu dibendung kerana akan membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam dan menjauhkan mereka dari ajaran nabi s.a.w yang walaupun dari sudut penampilan mereka mengajak kepada ibadat dan berbuat baik.

Penulis: Rosli Mokhtar 




Pandangan anda dihargai


Tuesday, 17 April 2012

Undang-undang Islam & Siasatan

Seorang perempuan telah datang mengadu kepada Umar al-Khatab sambil menangis. Dia mengadu cuba dirogol oleh seorang lelaki. Dalam masa yang sama perempuan itu menunjukkan kesan air mani pada bahagian pakaiannya...............

Sehubungan dengan itu Amirulmukminin Umar al-Khatab memanggil lelaki yang dituduh dan mula membuat soal-siasat. Lelaki itu menafikan bahawa dia cuba berlaku jahat terhadap perempuan itu sebaliknya mendakwa perempuan itulah yang sebenarnya mengajaknya melakukan perbuatan terkutuk itu.

Melihatkan pertikaian ini Umar al-Khatab bertanya kepada Ali bin Abi Talib tentang pandangan beliau dan Ali mengatakan bahawa kes ini perlu disiasat.

Ali bin Abi Talib meminta air yang sedang mendidih, setelah dibawa air itu kepadanya, Ali menuangkan air itu di atas pakaian wanita yang terdapat air mani itu tadi.

Setelah air panas mengenai bahagian yang didakwa air mani itu, barulah diketahui bahawa perempuan itu menipu. Ini kerana bahan yang diletakkan pada pakaiannya ialah putih telur bukannya air mani. Ini kerana air mendidih itu tadi telah membuatkan telur itu masak dan berubah warna serta menampakkan hakikatnya.

Dari situ terlepaslah pemuda yang tertuduh itu dari hukuman. Dalam perundangan Islam, penyiasatan mestilah dilakukan sebelum sesuatu dakwaan itu diterima......ingin mengetahui lebih lanjut tentang undang-undnag Islam ikutilah kursus yang kami lakukan.
Keterangan lanjut lihat disini:


Sumber cerita: Ibnu Qayyim










Pandangan anda dihargai


Monday, 16 January 2012

Bagaimana mengelak dari 'Sathiyyah" (1)

Pemikiran mendatar dan luaran, analisis mudah dan sambil-lewa bukan termaktub untuk mana-mana bangsa dan bukanya takdir yang mahtum. Pemikiran sathiyah tidak mengira siapa, boleh dianuti oleh segenap lapisan masyarakat dan seluruh bangsa. Dan inilah yang biasa terjadi. Mungkin kita juga menggunakan teknik pemikiran ini dalam sebahagian keputusan dan tindakan yang diambil lantaran kekurangan dan kelemahan yang bersifat manusiawi.

Namun, perjuangan seorang manusia ialah untuk membangunkan nilai diri dan akalnya, membangun daya taakul dan fungsi akalnya dari semenjak dia dilahirkan sampailah jasadnya dikembalikan ketempat asal kejadiannya.

'Fi Kabad' yang diistilahkan oleh al-Quran itu turut merangkumi mehnah dan perjuangan insan mengenal dan mempelajari. Memuaskan satu tuntutan diri yang bersifat minda dan nashwahnya berlaku dalam menuruti simpang siur maklumat bak rumah ankabut.

Jika begitulah umumnya pemikiran sathiyyah, maka bagaimana pula langkah untuk keluar dari kegelapan ini? Adakah di sana jampi serapah yang boleh menjauhkan penyakit yang boleh mengenai setiap yang bernama manusia? Jawapannya ialah ya dan ya.

Langkah pertama sebagai permulaan, seorang sarjana khususnya mestilah meluaskan pengetahun dalam bidang yang diperkatakan. Jika kita mahu menghukum ke atas Ikhwan Muslimin misalnya. Biarlah kita telah mengetahui tentang kumpulan itu sebaik mungkin. Mengetahui itu pula ada dua macam. Pertama mendengar ulasan orang tentang perkara itu, keduanya menemui sendiri maklumat melalui sumber terdekat.

Contoh yang saya pernah buat ialah bila media menghukum terhadap jamaah al-Arqam. Bila kerajaan mengharamkan kumpulan itu atas dasar ianya bertentangan dengan akidah. Ya, kita dituntut bersangka baik, tetapi kita juga dituntut untuk bertindak jika ada kesilapan.

Maka bacalah tulisan orang tentang al-Arqam, selepas itu bacalah tulisan orang al-Arqam sendiri. Ya sangat berlainan nampaknya dua sumber itu. Akhirnya untuk memastikan lagi apa saya telah mula kumpul maklumatnya ialah saya telah pergi berjumpa dengan Syeikh al-Arqam ketika itu.

Balik dari berjumpa beliau, seorang pengikut al-Arqam yang membawa saya bertanya: Apa pandangan ustaz terhadap al-Asari? Saya kata: Dia sesat.

Percubaan kita untuk mengumpul sebanyak mungkin maklumat dalam perkara yang berkaitan akan memberikan kita maklumat yang lebih tepat dan benar. Akhirnya gambaran sebenar itu membuatkan kita menjatuhkan hukuman yang adil terhadap sesuatu.

Kerana hal ini, golongan akademik yang membuat kajian dan berada di universiti kebiasaannya lebih tepat pandangannya terhadap sesuatu perkara berbanding pembuat keputusan yang berdasarkan tanggapan dan kebarangkalian yang umum. Yang melihat sesuatu masalah dan membuat rumusan mudah. Ini kerana pengkaji profesional memiliki kekuatan metod dan kekuatan budjet yang memungkin mereka menngumpulkan sebanyak mungkin maklumat dan setepat mungkin pengetahun terhadap sesuatu hakikat.

Sayangnya kumpulan ini tidak diketengahkan sebagai 'orang alim'. 'pakar rujuk' dan 'ikon' dalam masyarakat. Mereka tenggelam dalam keghairan mengejar 'orang popular'. Kerugiannya ialah masyarakat tidak diangkat tahap pemikirannya.


Pandangan anda dihargai


Monday, 9 January 2012

Memerangi Sathiyah (2)

Pemikiran sathiyah sebenarnya bertantangan dengan roh al-quran yang mengajak manusia berfikir dan meneliti, merenung dan mengkaji. Afala yatadabbarunal quran....dan banyak sangat ayat yang merujuk kepada berfikir dan menilai. Menilai bukan pada quran sahaja bahkan pada alam semesta.

Ketika membaca baris-baris buku tulisan ِAbbas Mahmud Aqad, seorang penulis Mesir terkenal (W1964) terjumpa pula kupasan beliau terhadap tuntutan berfikir yang dinyatakan dalam al-Quran.

Menurut Aqad, tuntutan berfikir dalam al-Quran bukan hanya untuk membezakan antara orang yang berakal dengan orang gila kerana al-Quran itu sendiri telah ditujukan kepada yang berakal. Oleh itu tuntutan berfikir di situ bermaksud, berfikir diperingkat lebih serius dan bersungguh-sungguh.

Jihad yang agak besar dan rumit buat masa ini ialah bagaimana menyemai sifat suka berfikir dan bagaimana meninggikan laras pemikiran umat Islam. Bagaimana membimbing manusia supaya berfikir dengan cara yang betul untuk menanggapi sesuatu dan bertindak mengikut pemikiran yang betul.

Dengan cara ini sahaja umat Islam akan bangkit menjadi kuasa besar dunia, dan dengan cara ini sahaja tahap penghayatan agama yang lebih baik boleh dicapai. Adapun teknik menggumpul crowd dengan aktiviti agama yang berbaur hiburan, joke dan santai hanya gah pada majlisnya sahaja. Tetapi kesanya hanya sebentar. Ini kerana manusia tidak akan mampu ketawa dengan kata-kata seseorang selama bertahun-tahun. Ketawa, kelakar dan hiburan tidak boleh bertahan lama, ianya dengan segera bertukar menjadi hambar dan membosankan.

Atas sebab inilah umat Islam perlu diajak berfikir dan kerana itulah al-Quran mengajak manusia berfikir. Seorang yang memeluk Islam kerana sebab-sebab kebendaan dan emosi akan berubah kepentingannya bila kepentingan dan perasaan itu berubah. Tapi keimanan yang didasarkan dengan yakinlah yang akan kekal dan keyakinan tidak dapat masuk kedalam hati seseorang kecuali melalui pintu akal.

Selain dari teknik di atas yang kebanyakannya mensasarkan golongan masyarakat umum, tindakan menggumpulkan sebahagian cerdik pandai lalu memenuhkan otak mereka dengan doktrin yang kononnya bersifat muktamad dan kudus lalu menafikan garapan dan percanggahan seterusnya melebelkan setiap aliran bercanggah sebagai sesat dan kufur juga salah satu daripada fenomena sathiyyah.

Dengan itu dapat difahami bahawa pemikiran sathiyah terbentuk kerana adanya penafian terhadap budaya ilmu. Budaya ilmu bersifat menerima sesuatu dengan cara terbuka, berdasarkan penghujahan dan jauh dari ketaksuban. Budaya ilmu mengajar manusia menilai setiap dakwaan tidak kira dari mana datangnya dakwaan itu. Budaya ilmu akan menganalisis sesuatu asas dan maklumat sebelum mengambilnya sebagai satu pegangan.




Monday, 2 January 2012

Azam Tahun Baru 2012: Memerangi Sathiyyah (1)

Cepat masa berlalu, dah hari kedua tahun 2012. Masih ternampak-nampak lagi bagaimana hangatnya orang ramai menyambut tahun 2000. Dah berlalu 12 tahun. Apa yang berubah, apa yang dicapai dan apa yang dihasilkan..???

Bagi saya, ada beberapa target yang perlu dicapai dalam tahun 2012 dan ada juga keinginan yang tidak tahu sejauh mana mampu dicapai. Mungkin bahagian inilah bahan perkongsian kita untuk tulisan kali ini.

Memperkasakan pemikiran masyarakat. Inilah agenda besar yang saya rasakan terlalu kerdil untuk mengucapkannya. Terlalu besar kehendak hati berbanding kemampuan dan kederat yang ada.

Pada pandangan saya, masalah yang membelit warga Malaysia amnya dan orang Melayu khasnya ialah 'sathiyah'. Aliran 'simplism' yang malas berfikir, sebaliknya mudah membuat kesimpulan dengan maklumat luaran tanpa kajian dan pengamatan. Menuduh akal sebagai bertentangan dengan agama dan meletakkan emosi sebagai hakim yang menerajui kehidupan.

Pada pandangan saya inilah masalah terbesar masyarakat kita. Bukan golongan awam sahaja yang mengenai penyakit ini, tetapi fenomena ini berada di mana-mana. Bermula dari aktiviti di rumah sehinggalah ke universiti dan bangunan pentadbiran.

Untuk membuktikan dakwaan ini saya perlu mengutarakan sedikit bukti bagaimana simpelnya pemikiran bangsa kita. Ya situasi ini berlaku dalam segenap bidang kehidupan. Dalam pendidikan, pentadbiran, politik dan agama.

Rasanya ramai dikalangan kita yang pernah pergi ke hospital, emm cuba tengok bagaimana ubat diberikan, diberikan dalam plastik kecil bertulis KKM dan berapa kali perlu makan dan berapa biji yang perlu diambil.

Disebabkan masyarakat kita malas berfikir, maka mereka boleh menerima situasi ini. Mereka malas nak tahu jenis ubat dan ramuannya secara lebih mendalam. Mencari maklumat tambahan tentang ubat dan sebagainya kerana semua pemikiran, kajian dan pengetahun tambahan itu telah diserahkan bulat-bulat kepada pihak hospital. Mereka tidak pernah terfikir, bolehkah saya dapat ubat yang lebih berkualiti dari ubat ini, dari mana ubat ini dikeluarkan dll. Bila maklumat-maklumat itu tidak dipaparkan pada ubat yang mereka gunakan, mereka tidak marah, atau rasa terancam.

Dalam situasi lain pula jika sesuatu masalah pribadi berkaitan seseorang seperti ada rakan sepejabat y.ang bercerai misalnya, maka habislah individu itu akan ditelanjangkan, dikupas isunya sampai berminggu lamanya siap dengan berbagai teknik mencungkil rahsia akan digunakan. Semua itu demi memuaskan emosi.

Mereka sanggup membantu rakan yang malang itu demi mendapatkan cerita-cerita sensasi dan sebaik sahaja rahsia habis dicungkil, maka tinggallah mangsa yang malang menanggung derita perceraian dan derita tambahan iaitu malu kerana rahsia rumahtangganya telah ditelanjangi.

Hasil daripada sikap 'sathiyyah' ini maka, banyaklah perkara-perkara 'bodoh' yang tidak sepatutnya diamalkan oleh masyarakat tetapi subur diamalkan dalam kalangan kita.

Jangan sesekali ingat pemikiran 'sathiyah' ini berlaku kepada golongan bawahan sahaja, bahkan golongan profesional dan berpelajaran juga turut terbelenggu dengan pemikiran mudah dan malas ini. Bahkan sikap kumpulan ini mengundang bahaya pada negara, bangsa dan agama.

Di universiti, para pensayarah menghadapi masalah untuk mengarang buku dengan syarat atau format universiti, ini kerana buku yang ditulis atas format universiti sangat sukar untuk dijual. Biarpun warga universiti berjumlah 10-20 ribu orang bagi setiap universiti, tapi seribu naskah yang dicetak sangat sukar untuk dijual.

Sebaliknya seorang yang menulis dengan tulisan ringan atau cara popular yang tidak bergantung dengan etika ilmiah boleh menjual buku mereka puluhan ribu naskah dalam masa beberapa bulan. Oleh itu saya harap kita jangan terlalu seronok bila melihat orang ramai berpusu-pusu melihat pameran buku kerana buku-buku yang dibaca kebanyakannya tidak bersifat berfikir secara mendalam. Buku-buku itu masih dalam ruang 'sathiyah'. (sudah tentu bukan semua tetapi banyaknya macam tu).

Kemalasan berfikir di universiti sangat jelas bila program yang bersifat santai dan jauh dari pemikiran atau kunjungan artis akan dipenuhi oleh studen sementara program ilmiah perlu diramaikan dengan mengeluarkan surat arahan mengandungi perkataan 'wajib'. Kedatangan juga terpaksa diambil dan diberikan markah...huh malasnya berfikir sampai kena paksa macam itu sekali.

Pemikiran 'sathiyyah' menyebabkan faktor terbesar sesebuah buku laris ialah kulitnya yang menarik dan tajuknya yang memukau...isi dah jadi faktor ketiga sesebuah buku jadi bestseller...heheh kelakar bukan?

Dalam mengupas isu ini, kita sering juga terkeliru dengan majlis-majlis ilmu yang banyak diadakan di sana-sini termasuk di masjid dan surau. Tahukah kita bahawa kebanyakan majlis itu tidak mampu membentuk pemikiran dan membaiki apa-apa? Sebahagian besar program seperti ini bersifat mengulangi maklumat yang sedia ada, membuat kesimpulan mudah terhadap kesalahan kerajaan, kebejatan sosial dan banyak juga yang menggunakan emosi dengan memainkan isu hubungan anak dan ibubapa.......penceramah seperti ini dihadiri ramai penonton dan tentunya ehm..ehemm...bayarannya mencapai RM10,000 bagi 1-2 jam...

Ceramah-seramah agama hanyanberkisar dari beberpa isu politik, joke, isu-isu fekah taharah, fardu ain dan tajuk2 yang sebenarnya telah dipelajari berkali-kali semenjak di sekolah rendah lagi........bersambung



Pandangan anda dihargai


Sunday, 1 January 2012

Apakah ertinya mercun yang dibakar di tahun baru ini??



Katika saya mengatur baris-baris ayat dalam blog ini, detuman mercun masih kedengaran. Di kawasan Kajang ini jumlah dan letupan mercun tidak segarang letupan di depan KLCC. Jika sambutan di KLCC berkos jutaan ringgit maka di Kajang dalam ribuan ringgit sahaja.

Yang mahu saya tulis bukan persoalan harga tetapi persoalan sikap. Apa yang saya sering khayalkan ialah bagaimana reaksi mereka yg menyambut tahun baru dengan mercun dan pesta ini, jika kita katakan kepada mereka, simpanlah mercun tu, main esok saja....apakah agaknya jawapan mereka??

Bila saya membaca sebuah buku tulisan Munir Syafiq, seorang pemikir Kistian Arab yang memeluk Islam, saya mendapat jawapan ini. Baru saya terlintas bahawa walaupun mercun dan bunga api di Lubnan mungin tidak sekalut di KLCC, tetapi ada kesamaan dalam cara dan sebab perkara ini berlaku.

Munir Syafiq menjelaskan bahawa tabiat umat yang mundur, terjajah dan diperbodohkan ialah mereka suka mengikut tabiat dan prilaku orang yang memperbodohkan mereka. Fakta yang pelik tetapi benar bukan? Sepatutnya orang yang memperbodohkan orang lain secara lojiknya akan dibenci dan disingkirkan, ya jika orang yang diperlakukan itu sedar, cerdik dan berakal.

Tetapi masakan orang yang berakal boleh diperlakukan dan diperbodohkan?? Perbuatan bermain mercun jika dijadikan mainan anak-anak di depan rumah dan ketika santai dengan keluarga atau kawan-kawan bukanlah sesuatu yang buruk

Tetapi pada malam ini permainan bunga api dan mercun menjadi bodoh dan orang yang bermain itu sebenarnya telah diperbodohkan. Ini kerana jika dikatakan kepada mereka kita main saja malam esok atau minggu depan mereka akan menolaknya. Alasan mereka sudah tentu kerana orang tak sambut tahun baru minggu depan, orang sambut malam ni.

Keaiban sebenar bukan sangat pada bermain mercun, kecuali mercun yang terlalu mahal sehingga boleh membasmikan sejumlah besar fakir miskin. keaiban sebenarnya terletak pada tabaiyyah gharbiyyah (mengikut barat membuta tuli).

Inilah penyakit yang menyerang bangsa yang hina dan terhina. Mereka buat sesuatu tindakan kerana mengikut orang lain yang membuatnya. Hati mereka akan rasa gembira bila dapat buat sesuatu yang menggembirakan bangsa barat yang dituruti. Pelik bukan? Sehingga dunia ini tidak dirasakan untuk mereka tetapi dunia ini untuk barat yang menentukan dimana seronoknya dan dimana yang tak seronok.

Mengapa saya katakan bukan mercun yang buruk tetapi sikap yang sebenarnya begitu? Ini kerana trend mengikut dan berbangga dengan barat bukan pada mercunya sahaja. Pada segala-galanya, gaya bercakap, ketawa, permainan, adat-adat kebesaran, cara barat bersahabat, berterimaksaih dll lagi lah banyak sangat nak disebut semuanya.

Oleh itu tidak hairan akhlak dan segala macam bentuk kehidupan semakin hari semakin ditiru barat dengan penuh rasa bangga. Sampai ilmu dan kepandaian pun akan hebat bila menyerupai barat. saya pernah berkata kepada seorang kawan: Kalau anda pandai Bahasa Arab anda bagus, tapi kalau anda pandai Bahasa Inggeris anda hebat.

Begitulah terpenjaranya kita dengan kehinaan sehingga kita tidak ada peluang dan ruang untuk buat dan berbangga dengan apa yang kita suka. Kita tidak berpeluang untuk membenci apa yang kita benci. Segala-galanya ditentukan oleh Barat...Apakah ada kehinaan yang lebih buruk dari kehinaan ini??? Kalaulah 'tiada' jawapannya, maka apakah ertinya mercun yang dibakar di tahun baru ini??
Pandangan anda dihargai


Saturday, 31 December 2011

Bagaimana berhubung dengan khazanah ilmu silam??

Khazanah ilmu silam merupakan gedung yang penuh dengan timbunan garapan ilmu yang kita warisi dari generasi terdahulu, generasi yang telah melakukan tugas mereka menggali, memproses dan mengeluarkan hasil bahkan telah memasarkan produk mereka untuk dimanfaatkan oleh ramai manusia.

Terdapat tiga aliran utama yang boleh dilihat dengan jelas bila berbincang tentang bagaimana berhubung dengan khazanah silam.

1- Aliran yang menerima bulat-bulat apa yang tingggalkan oleh orang terdahulu, mereka terdiri dari pengkagum khazanah silam yang sebenarnya mewarnai keiklasan dengan ketaksuban. Kagum dengan juhud sabiqin yang sememangnya hebat, tetapi tidak berakhlak dengan akhlak mereka yang kritis, berlapang dada dan mauduiyyah.

2-Aliran yang menolak apa sahaja yang ditinggalkan oleh sarjana terdahulu dengan meletakkan seribu satu macam alasan, yang penting bagi mereka pencarian ilmu silam berada pada landasan yang kabur dan penuh dengan dhabab. Jika aliran pertama terjelma dalam taksub yang dilingkari dengan sesuatu kumpulan, seringkali pula sifat kedua berlaku kepada orang yang sama, tetapi ketika mereka berinteraksi di luar kelompok mereka. Ini bermakna penolakan mutlak akan berlaku kepada setiap kumpulan yang bukan dari aliran mereka. Pada ketika itu fokus bukan lagi pada kajian dan kebenaran tetapi yang mahu dinobatkan ialah aliran, kumpulan dan mungkin individu tertentu sahaja.

3-Aliran ke tiga ialah aliran yang menceduk di sana sini, melompat dari satu madrasah ke satu madrasah, tanpa mengetahui selok belok ilmu dan keserasian hujah, terbang dalam jubah ijtihad dan tajdid, tetapi sangat miskin dari sudut metod. Acap kali juga terdengar bisikan kalimah 'maslahah', 'talfiq', 'masyaqqah' dialunkan dalam alunan syahdu penuh simpati.

Bagi seorang penuntut di bidang pengajian yang sedang melangkah setapak demi setapak kearah istqlaliah, melihat khazanah dengan jiwa yang lapang adalah syarat terpenting. Sedar bahawa umat Islam telah melalui putaran hukum alam yang sama dengan umat-umat yang lain, oleh itu mereka berusaha sebagaimana berusahanya umat lain, mereka mengkaji, menyelidik, berfikir dan akhirnya mereka membuat keputusan yang bersifat kemanusiaan.

Sedar bahawa khazanah ilmu silam bukanlah maksum (terpelihara) dari kesilapan dan kekurangan sebagaimana maksumnya al-Quran. Contoh yang mudah ialah membaca tafsir Ibnu Katsir bukan bermakna anda membaca al-Quran. Kerana kitab al-Quran datangnya dari Allah sementara seluruh kitab tafsir adalah usaha kemanusiaan yang berdepan dengan kemungkinan benar dan salah.

Membaca kitab Ihya' Ulumiddin oleh al-Ghazali contohnya mestilah dengan roh membaca hasil kerja seorang manusia. Oleh itu seorang penuntut perlu mengkajinya dengan dada yang lapang dan hati yang terbuka.

Bahkan umat Islam silam pernah menyaksikan kelahiran pereka-pereka hadis palsu, penyebar-penyebar berita bohong dan fatwa-fatwa bersifat kepentingan diri yang bertujuan mendapat habuan dunia. Khazanah Islam silam juga menyimpan karangan dan hasil kerja orang-orang seumpama ini. Hasil kerja mereka juga menyusup masuk kedalam karangan-karangan orang-orang yang ikhlas tetapi lemah penilaiannya.

Perjalanan umat Islam silam juga telah menemui sifat taksub, ego, kepentingan diri, sathiyyah, dengki, terpegung dengan pemikiran asing, saki baki agama asal dan berbagai sifat kemanusiaan lain. Jika tidak rahmat Allah kepada umat ini, sudah tentu nasib mereka sama dengan umat-umat terdahulu.

Ada orang tidak sedar dengan bagaimana terpengaruhnya sebahagian umat Islam silam dengan pemikiran Greek, apabila mereka ingin memartabatkan 'ilmu islam' mereka mengambil apa sahaja yang dikataka oleh sarjana terdahulu asalkan mereka Islam sedangkan ada dikalangan sarjana tersebut menceduk dari pemikiran Greek.

Hasil dari kefahaman ini, seorang sarjana akan mengupas perdebatan ulamak silam dan polemik yang mereka lalui sebagai polemik kemanusiaan yang didasari oleh keimanan kepada agama tetapi tidak terlepas dari sifat kemanusiaan. Isu-isu jidal, mazhab, pertikaian hukum dan perbalahan politik semuanya berlaku dalam usaha mereka menghayati agama Allah dalam kontek seorang manusia biasa. Pengalaman mereka sangat berguna kepada kita sebagai panduan tetapi sana ada panduan tertinggi yang sentiasa menjadi teras dan mabadi'

Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah pembinaan metod yang baik. Mengetahui bahawa zaman penurunan wahyu adalah zaman paling agung yang perlu dikenal pasti cara dan selok belok mereka menganalisis dan menggarap sehingga para sahabat yang agung mampu menerima kepelbagaian kerana mereka sedar kepelbagaian itu berada dalang rung yang dibenarkan dan datangnya dari mereka yang berkeahlian!!!!

Pandangan anda dihargai


Friday, 30 December 2011

Bagaimana berhubung dengan hadis?

Satu lagi keperluan penting ialah hadis nabi s.a.w. Memahami dengan betul kehidupan nabi s.a.w. dan meseg yang mahu disampaikan oleh baginda akan memberi kesan mendalam terhadap cara berfikir seorang sarjana.

Metod sarjana ketika berhubung dengan hadis akan menentukan apakah hadis yang merupakah 'bahan mentah' yang diproses oleh seseorang sarjana akan mampu diadun sebaik mungkin dengan berbagai ramuan mampu menghasilkan produk yang baik.

Perjuangan seorang sarjana ketika berdepan dengan hadis lebih panjang berbanding perjuangannya ketika berdepan dengan sumber al-Quran. Sarjana dalam segala bidang pengajian ilmu Islam perlu meyedari tentang perbincangan paling basik tentang hadis iaitu kesahihan, kedaifan dan simpang siur antara keduanya sampailah bagaimana hadis dianggap maudu' atau hasan atau sahih.

Satu tanggapan yang salah ialah bila menjadikan pelajar pendidikan Islam bidang hadis sahaja yang diajar dengan subjek ulmu hadis, sementara bakal sarjana dalam bidang-bidang dakwah dan lain-lain sering dianggap kurang perlu mengetahui dengan lebih mendalam tentang ulmu hadis. Akhibat yang dialami sebenarnya sama buruknya, samada mereka dibidang hadis atau dakwah atau syariah.

Dalam satu situasi pula, seorang yang mengetahui tentang darjat hadis telah dengan berani menerjah masuk ke medan syariah contohnya lalu menggunakan hadis-hadis itu dengan hanya berbekalkan pengetahuannya bahawa hadis itu sahih.

Lihat kembali metod berhubung dengan al-Quran, jika al-Quran perlu difahami dengan cara yang betul, maka hadis juga sedemikian rupa. Pengetahuan terhadap status hanyalah salah satu keperluan sarjana untuk selepas itu menganalisis dengan pengetahuannya tentang penggunaan bahasa, skop sunnah dan berbagai sudut yang mungkin jauh lebih kompleks dari hanya sekadar mengetahui status hadis.

Antara perkara terpenting yang sentiasa perlu diberikan perhatian ialah hadis perlulah difahami mengikut roh al-quran. Ini kerana beberapa faktor antaranya kerana riwayat hadis mejoritinya pada tahap ahad, kebanyakan hadis diriwayatkan secara maknanya bukan dengan lafaznya.

Sebelum mengakhiri tulisan hari ini saya cadangkan pelajar pengajian Islam membaca buku Dr Yusof al-Qaradawi bertajuk: Bagaimana berhubung dengan Sunnah . Buku seperti ini boleh dijadikan panduan awal tentang cara berhubung dengan sunnah.


Wednesday, 28 December 2011

Memahami al-Quran Bagi Seorang Sarjana

Bagi seorang Sarjana tuntutan untuk memahami al-Quran jauh lebih mencabar dari individu biasa. Ini kerana kebanyakan menyangka al-Quran difahami dengan hanya memahami bahasa Arab dan tidak kurang juga yang menyangka sudah sangat hebat bila mereka merujuk kepada terjemahan al-Quran. Walau apa pun itu hanyalah tanggapan orang awam.

Bagi persiapan memahami al-Quran pada tahap yang sepatutnya difahami oleh seorang sarjana, penuntut pengajian Islam mestilah mempunyai kefahaman yang jitu tentang ayat yang berbentuk kulli dan manakah pula yang berbentuk juzie.

Perlu sekali mempunyai pendirian dalam permasalahan hakikat dan majaz. Dengan metod yang mantap, barulah kefahaman terhadap al-Quran akan sekata dan tidak berlawanan dalam satu situasi yang sama.

Salah satu isu kefahaman al-Quran yang banyak dipersoalkan oleh ulamak ialah Teori nasikh mansuh dalam al-Quran, kesemua isu-isu sebegini hendaklah dilalui dan diteliti dalam pencarian ilmu, barulah penuntut dibidang pengajian Islam berbeza dari seorang yang mendengar ceramah di masjid atau penonton rancangan agama di TV.

Banyak lagi isu-isu teras yang menuntut seorang sarjana betul-betul mahir dan dianggap memahaminya sebagai memahami al-quran seperti isu Qatie dan Zanni. Maqasid al-Asliyah dan Tabaiyah dll.

Pandangan anda dihargai


Tuesday, 27 December 2011

3 Keperluan Utama Sarjana Pengajian Islam

Seorang sarjana dalam bidang Pengajian Islam mestilah mempunyai metod yang kuat dalam tiga perkara:

1- Bagaimana dia berhubung dengan al-Quran
2- Bagaimana dia berhubung dengan hadis
3- Bagaimana dia berhubung dengan timbunan peninggalan ilmu Islam silam.

Menajamkan pengetahuan dalam ketiga-tiga keperluan di atas perlu dilakukan semenjak masih diperingkat BA lagi, barulah akhirnya kefahaman yang benar hasil dari metod yang jelas dapat memberikan kekuatan kepada seseorang sarjana merumuskan hasil pemerhatiannya untuk dijadikan satu produk yang bersesuaian dengan keperluan zaman.



Pandangan anda dihargai


Sunday, 25 December 2011

Doxymycin: Rujuk Kepada Pakar

Setelah lebih sebulan batuk-batuk, saya terpaksa mengalah, mengalah dengan percubaan, berbagai petua melawan batuk telah saya gunakan, bukan apa, kerana nak cuba melihat sendiri kesan petua-petua itu.

Sebahagian petua itu pula sangat mujarab ketika saya mengalami batuk-batuk sebelum ini. Akhirnya saya mengambil Docymycin 100mg. Selepas mengambilnya dua hari (1 pagi, 1 malam) batuk saya berhenti, tapi dinasihatkan oleh doktor untuk mengambilnya dalam masa 5 hari.

Nasib baik juga, sebelum ni hampir-hampir peti suara saya rosak...maklumlah antara petuanya ialah campurkan madu lebah dengan cuka epal, apabila terlebih saya rasa sakit pada bagaian halkum dan rupanya asid telah memberi kesan buruk pada bahagian itu.

Inilah bahayanya jika kita tidak meminta nasihat pakar dan buat kerja ikut hentam saja. Bukan mereka yang mencuba petua-petua sahaja yang bahaya, saya dapati ada juga orang yang berani ambil antibiotik tanpa nasihat doktor. Contohnya ada yang mengambil antibiotik ini sendiri sampai makan lebih sebulan. Huh.. takde kesedaran langsung...setiap ubat tu ada kesan sampingannya....apa-apa pun rujuklah kepada pihak yang berwibawa, biasakan diri kita mengikut etika ini.

Dalam masyarakat kita ni sikap menghormati bidang sangat kurang sekali, bayangkan kalau anda minta nasihat berkaitan hukum-hakam agama hanya dari seorang imam masjid atau ahli motivasi, sedangkan menjadi imam dan memberi motivasi tidak menunjukkan mereka mahir dalam bidang hukum-hakam. Sudah tentu risiko untuk tersalah tu tinggi sekali.

Berbalik kepada antibiotik yang saya ambil, jika mahukan maklumat lebih, bolehlah merujuk ke laman ini


ingat, maklumat-maklumat ini hanyalah pengetahuan umum sahaja tapi boleh membantu kita memahami apa yang kita lakukan.


Pandangan anda dihargai


Thursday, 22 December 2011

Misi Thailand Menutup Tirai 2011

Tahun 2011 sudah berada dipenghujungnya, misi menjelajah Thailand kali ini pula terpaksa dipendekkan dan hanya sempat dilakukan dikawasan selatan negara ini sahaja.


Teruja dengan keindahan hutan ini, walaupun sama dengan Malaysia, tapi tahap kebersihan di sini jauh lebih baik. Mereka tidak membenarkan pelawat membawa makanan, menyalakan unggun api dan mandi dengan menggunakan sabun. Kesanya sangat menakjubkan, kawasan hutan sangat bersih dan ikan-ikan dalam sungai sangat banyak. Jika dibandingkan dengan sungai di Pasir Putih atau Hulu Langat...huh berguni-guni sampah dapat dibawa balik...dah lah gitu, ikan-ikan tak berpeluang membiak kerana dituba....


Pusat Islam Songkla membuktikan kerajaan Thailan bersifat terbuka kepada agama, cuma yang berlaku kekacawan bila ada pihak yang mahu melakukan pemisahan wilayah, yang tu mereka marah....oleh itu, situasi di Thailand sangat subur untuk dakwah.



Selain dari tempat resmi yang tersergam indah, terdapat pula usaha-usaha individu yang mempertahankan benteng akidah dengan segala yang termampu, di bawah pondok daif ini mereka menggumpulkan 30 orang pemuda untuk mempelajari asas-asas ajaran Islam. Pondok yang menganjur ke Laut Andaman ini sebenarnya tidak jauh dari Malaysia mengikut geografinya, tetapi mungkin terabai dari sudut hubungan ukhuwah islamiahnya.








Disebalik kedaifan prasarana, mereka kaya dengan budi, lawatan kami disambut dengan sedikit hidangan See Food yang mungkin kelihatan terlalu mudah untuk disediakan tetapi tersimpan disebaliknya seribu makna....











Hasil Lawatan:

Umat Islam Malaysia perlu diperkasakan dengan pemikiran menyebarkan Islam dan mengembangkannya, umat tidak harus dilalaikan dengan perbalahan khilafiah tetapi mengambil roh perjuangan penyebar Islam agung. Terlalu ramai umat manusia yang sedang menantikan kedatangan kita sebagai hero. Jika jasa penyebar Islam terdahulu menyebabkan Alam Melayu telah menerima Islam, maka apakah pula jasa kita???? Kita sepatutnya telah mampu dibentuk untuk mengikuti jejak-jejak mereka!!!!











Pandangan anda dihargai


Friday, 16 December 2011

Kekalahan Amerika di Iraq: Siapakah selepas mereka?

Akhirnya tentera Amerika secara resmi mengistiharkan pengunduran mereka dari bumi Iraq. Setelah mengalami hampir 4500 korban, kerajaan Amerika memilih untuk berbut demikian, walaupun berdepan dengan pandangan umum yang akan melihat kelemahan dan kekalahan polis antarabangsa itu.

Bagi umat Islam Iraq, keganasan yang telah dilakukan oleh Amerika bukan sahaja tidak boleh dilupakan bahkan ketiadaan Amerika tidak sedikit pun dapat mengurangkan masalah mereka. Jika kedatangan Amerika telah menyaksikan 150,000 orang telah terkorban kecederaan, kemiskinan dan kemusnahan. Ketiadaan Amerika akan menyaksikan kehadiran lebih kuasa Iran dan berleluasanya keganasan yang dilakukan oleh kumpulan Syiah.

Membunuh, merogol dan merampas rumah dan harta Muslim Sunah adalah rutin yang telah sebati dalam kehidupan di negara Iraq. Jika kewujudan Amerika membuatkan mata dunia memahami kepayahan rakyat Iraq, maka ketiadaan mereka mungkin membuatkan dunia merasakan sebahagian masalah Iraq telah selesai. Kemelut Iraq sebenarnya masih jauh jalan penyesalannya dan rakyat Iraq berdepan dengan hari-hari yang tidak menentu, hanya Allah yang Maha Mengetahui apakah kesudahannya dan kemenangan tentunya akan berpihak kepada kebenaran.

Pandangan anda dihargai


Wednesday, 9 November 2011

Perkauman

Salam alaik ustaz. Nak tanya pendapat. Apa pendapat ustaz tentang slogan 'Melayu Sepakat Islam Berdaulat' yang diketengahkan oleh sebuah NGO di Msia ni?

  • ya..ramai yang terkeliru antara batasan bangsa dan agama,
  • kekeliruan ini timbul ketika kumpulan islam berdepan dengan kumpulan nasionalis yang memerintah,
  • ringkasnya, islam tidak membatalkan bangsa, sebagaimana islam tidak menghalang sesuatu bangsa membina dan memajukan bangsanya
  • menganggap sesuatu pertubuhan itu salah kerana diasaskan atas nama dan kepentingan bangsa adalah tidak tepat
  • kekeliruan ini juga mungkin timbul bila ada orang menterjemah nasionalis sebagai asabiah
  • sebenarnya nasionalis sama dengan qaumiyyah
  • Malizi Kuh asabiayyah maknanya taksub, dan taksub tidak terjadi pada bangsa saja, ianya mungkin terjadi pada parti, kumpulan, persatuan, kabilah atau daerah dll
    3 hours ago · · 1
  • Malizi Kuh sebab itulah ada umat islam yang taksub mazhab sehingga mengkafirkan mazhab lain, ada yang taksub pemimpin sehingga tidak sanggup mengakui kesilapan seseorang pemimpin,
    3 hours ago ·
  • Malizi Kuh zaman rasulullah, baginda adalah pemimpin tertinggi, sementara pemimpin kaum dan kabilah tetap wujud dan tidak dibatalkan oleh baginda
    3 hours ago ·
  • Malizi Kuh setelah nabi berpindah ke madinah pun orang-orang muhajirin yang berasal dari mekah tetap mempunyai pemimpin sendiri,
    3 hours ago ·
  • Malizi Kuh pada suatu hari saya telah berforum, panel seorang lagi bertanya kepada penonton: tuan-tuan mahu mati Melayu ke mati dalam Islam??
    3 hours ago ·
  • Malizi Kuh saya kira persoalan itu tidak wajar, seorang cina boleh tetap jadi cina untuk masuk islam, maka seorang melayu boleh tetap jadi melayu untuk jadi orang Islam.
    3 hours ago ·
  • Malizi Kuh Dari sudut pentadbiran pula, orang melayulah yang akan lebih perihatin dengan nasib orang melayu
    3 hours ago · · 1
  • Malizi Kuh dan di Malaysia orang melayu yang dominan, jika mereka bersatu sudah tentu Islam jadi kuat sebab orang Melayu di Malaysia adalah Muslim
    3 hours ago · · 2
  • Malizi Kuh namun demikian di Amerika mereka telah mencapai tahap kematangan yang lebih tinggi, kontrak sosial negara mereka telah disepakati dan diterima semua orang, sebab itu mereka dah tak kira bangsa apa yang memerintah, yang penting pemimpin itu menjaga kepentingan rakyat Amerika, kematangan ini mungkin juga akan wujud di malaysia tetapi pada tanggapan saya bukan dalam masa terdekat, ini kerana bangsa2 di malaysia masih prajudis antara satu sama lain,
    3 hours ago ·
  • Ahmad Izzat apa komen ust kalau org kata slogan ni tak syumul dan akan menyebabkan org makin jauh dari pertubuhan mahupun dakwah? dan adakah slogan tersebut tepat dgn konteks nasionalisme yg difahami alBanna?
    2 hours ago ·
  • Malizi Kuh sejak pula selogan kena syumul?
    about an hour ago ·
  • Malizi Kuh disebabkan menafikan org melayu dari bercakap atas bangsa mereka telah dicanang sekian lama, maka ada org yg tetap menganggapnya salah,
    about an hour ago ·
  • Malizi Kuh al-Banna menentang perkauman yg berbentuk menzalimi bangsa lain dan berpecah belah, beliu tidak menentang perkauman yang berupa menguat dan membina sesuatu bangsa
    about an hour ago ·
  • Malizi Kuh saya lihat -wallahua'alam- parti yg bersifat kaum di negaa ini masih terkawal kerana mereka dalam masa yg sama bekerjasama dengan parti2 berlainan bangsa dibawah payung yang lebih besar.
    about an hour ago ·
  • Malizi Kuh dengan itu setiap parti yang berlandaskan kaum akan disokong oleh kaum masing2 dan kemudiannya bersatu membentuk kerajaan, untuk itu kepentingan setiap bangsa akan ada pejuangnya
    about an hour ago ·
  • Malizi Kuh namun begitu model begini tidak bersifat mesti berterusan selamanya, pkr membawa model semua bangsa dalam satu parti, apa yg diperjuangkan ialah nilai2 bersama, sementara pas satu ketika dulu menganggap model BN sebagai salah tetapi kini telah menerimanya, saya rasa perkembangan yg berlaku sebagai biasa tapi janganlah mana2 pihak menganggap hanya mereka yg mewakili Islam ...
    about an hour ago ·
  • Ahmad Izzat ust, adapula yg berkata mereka yg membina bangsa untuk perjuangan Islam sama seperti umno dan usaha seperti itu tidak berkesan sehingga harini seperti yg diusahakan umno. mereka samakan perjuangan bangsa seperti umno. adakah benar ia tidak relevan lagi?
    about an hour ago ·
  • Malizi Kuh soal tidak relevan tu boleh dibincang, tapi yang biasa didengar ialah 'bertentangan dengan islam', 'membawa kekufuran' dll
    about an hour ago ·
  • Malizi Kuh ada orang yang menolak hujah kumpulan yang menyaingi mereka dengan menggunakan hukum agama, seperti kufur, haram dan sebagainya.
    54 minutes ago ·
  • Malizi Kuh tabiat sebegini kalau kita dapat atasi lebih baik, soal relevan atau tak, soal strategi, kebanyakannya bukan berbentuk halal haram secara mutlak
    47 minutes ago ·
  • Ahmad Izzat ada kisah zaman Rasulullah yg menekankan pentingnya bangsa dlm Islam ust?
    38 minutes ago ·
  • Malizi Kuh Firman Allah:

  • Malizi Kuh يا أيها الناس إنا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله اتقاكم

  • Malizi Kuh kuwujudan kaum adalah fenomena alam yg dicipta oleh Allah

  • Malizi Kuh Hadis: sebaik kamu ialah org yg melindungi kaumnya selagi mana mereka tidak bersalah.
  • Malizi Kuh Riwayat Abu Daud, Tabarani, Baihaqi

  • Malizi Kuh Perkauman yg tidak kira kebenaran, hak dan keadilan adalah salah, pemikiran sebegini tak ada di negara kita, orang melayu hanya mahu mengekalkan hak mereka sebagai pemilik negara, bahkan banyak kelebihan yg diberikan kepada kaum pendatang


Pandangan anda dihargai